Lelaki maut motosikal rempuh belakang kereta di LPT1

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum merempuh belakang Perodua Bezza di Kilometer 198.8 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dari Kuantan menghala ke Temerloh pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Hafizul Kamaruzaman, 37, yang juga kakitangan bahagian teknologi maklumat, UITM Puncak Alam itu dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati Perodua Bezza yang dipandu wanita berusia 29 tahun itu berhenti di lorong kecemasan arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.
"Mangsa yang datang dari arah belakang gagal mengawal motosikal dan melanggar belakang Bezza.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu dan penumpang Bezza tidak cedera," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

