Balu ada masalah harta peninggalan suami boleh rujuk Jakim

Fuziah ketika melawat gerai agesi pembimbing selepas Majlis perasmian Kursus kesedaran dan bengkel pendaftaran pensijilan Halal Negeri Pahang 2020 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini hari ini.
Fuziah ketika melawat gerai agesi pembimbing selepas Majlis perasmian Kursus kesedaran dan bengkel pendaftaran pensijilan Halal Negeri Pahang 2020 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Balu yang terabai dan berdepan isu berkaitan pembahagian harta pusaka boleh merujuk Pusat Kaunseling Keluarga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapatkan nasihat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh berkata, selain Jakim mereka boleh berjumpa golongan yang arif termasuk dalam institusi agama.

“Nasib balu-balu yang kematian suami terutama ibu-ibu muda tidak boleh diabaikan kerana mereka perlu membesarkan anak-anak dan sebagainya. Mereka juga sebenarnya tidak keseorangan kerana ada yang sedia membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir merasmikan Majlis perasmian Kursus kesedaran dan bengkel pendaftaran pensijilan Halal Negeri Pahang 2020 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini hari ini.

Fuziah berkata, waris yang berhak perlu segera melantik wasi (pentadbir harta) bagi mengumpulkan dan mencairkan harta si mati yang ada untuk dibahagikan kepada waris yang layak.

“Amanah Raya juga boleh dilantik bagi membantu menguruskan pembahagian harta si mati.

"Jika isteri si mati mahu menuntut harta sepencarian (sebelum harta difaraidkan), balu boleh memohon bantuan daripada Jabatan Bantuan bagi mewakilinya secara percuma,” katanya.

Beliau berkata, pengeluaran sijil faraid di bawah bidang kuasa mahkamah syariah juga boleh dipercepatkan.

Artikel Berkaitan:

“Sijil faraid boleh dikeluarkan secepat mungkin selepas pendaftaran kes dari mahkamah syariah dan ia penting bagi menentukan ahli waris yang layak menerima harta pusaka si mati,” katanya.