'Tak ada sebab UMNO mahu MCA atau MIC disingkir daripada BN' - Puad

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

SHAH ALAM - "Tidak ada sebab UMNO mahu MCA atau MIC disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN)."

Demikian kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung pendedahan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengenai dakwaan cadangan 'orang luar' tertentu telah mencadangkan agar UMNO menyingkirkan MCA daripada BN.

Jelas Dr Mohd Puad adalah mustahil untuk parti akur dengan cadangan pihak luar malah UMNO lebih suka keanggotaan BN bertambah namun terhalang kerana peraturan BN menetapkan mesti ada persetujuan semua parti komponen.

"Jika kalau ada pihak luar khususnya DAP mahu UMNO singkir MCA atau MIC ia tidak akan berlaku. Mustahil UMNO boleh dicucuk hidung, DAP pun tidak akan berani.

“Justeru, MCA jangan takut bayang-bayang sendiri. Semua parti ada turun naik macam UMNO,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Media pada Ahad melaporkan, Ka Siong menunggu keputusan UMNO berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, Dr Mohd Puad berkata, BN memiliki rakan yang setia dan mudah berunding dan ini terbukti menerusi Friends of BN.

“Sebab itu BN ada anggota berstatus Friends of BN seperti Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Parti Punjabi Malaysia (PPM), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

“Terbukti Friends of BN adalah rakan yang setia dan mudah berunding,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!