Selepas jualan gudang, GBK bawa buku Islamik kanak-kanak ke PBAKL 2025

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli buku pada hari terakhir Jualan Gudang Karangkraf 2025. Foto: Asril Aswandi Shukor (Gambar kecil: Mysara)
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli buku pada hari terakhir Jualan Gudang Karangkraf 2025. Foto: Asril Aswandi Shukor (Gambar kecil: Mysara)
A
A
A
SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2025 yang berlangsung selama 10 hari melabuhkan tirainya pada Ahad dengan bahan bacaan bertemakan pendidikan Islam untuk kanak-kanak menjadi antara buku pilihan pengunjung.

Eksekutif Pemasaran Kids Karangkraf, Mysarah Razlin berkata, koleksi buku aktiviti interaktif dan cerita yang ditawarkan Grup Buku Karangkraf (GBK) menepati citarasa kanak-kanak masa kini dengan memberikan rasa keterujaan kepada pencinta buku untuk menambah koleksi mereka.

"Buku berkonsepkan Islamik kanak-kanak Karangkraf sesuai untuk semua peringkat umur dan ibu bapa juga suka kerana secara tidak langsung boleh ajar anak-anak tentang Islam dengan cara yang mudah difahami.

"Bahan bacaan yang paling laris ialah siri Haiwan Peliharaan yang berkisarkan kehidupan haiwan seperti kucing, hamster dan arnab selain buku interaktif sebab boleh suluh objek tersembunyi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Jualan Gudang Karangkraf 2025 yang menjadi pembuka tirai tahun ini menawarkan harga runtuh kepada pengunjung melibatkan semua produk di bawah GBK bermula 24 Januari hingga 2 Februari 2025.

Selain jualan buku, acara tahunan itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik selain menyediakan kemudahan asas kepada pengunjung seperti surau, reruai jualan makanan dan tempat letak kenderaan percuma.

Dalam pada itu Mysarah turut memaklumkan, GBK akan menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan.

"Kita akan bawa lebih banyak bahan bacaan khususnya yang bertemakan pendidikan Islam untuk kanak-kanak antaranya fakta sains dalam al-Quran.

"Selain membaca, buku interaktif itu turut menyediakan aktiviti yang membolehkan anak-anak cari objek atau haiwan tersembunyi dengan cara menyuluh pada helaian muka surat," jelasnya.
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!