Keluarkan wang RM200,000 sehari, sindiket keldai akaun tumpas

Hussein (dua dari kanan) menunjukkan rampasan barang kes susulan tumpaskan sindiket pengeluaran wang tunai di mesin ATM. Foto: SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
Hussein (dua dari kanan) menunjukkan rampasan barang kes susulan tumpaskan sindiket pengeluaran wang tunai di mesin ATM. Foto: SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket pengeluaran wang tunai hasil aktiviti haram melalui mesin juruwang automatik (ATM) menggunakan kad milik keldai akaun tumpas dalam siri serbuan di sekitar Lembah Klang, 26 Januari lalu.

Tangkapan seramai enam individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu dilakukan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semakan mendapati seorang suspek merupakan warga Vietnam, manakala selebihnya warga tempatan.

Katanya, polis telah merampas 10 telefon bimbit, wang tunai RM200,000 dan 122 keping kad ATM dipercayai digunakan oleh sindiket atas pelbagai kes penipuan.

Rampasan wang tunai dan kad ATM susulan tumpasnya sindiket pengeluaran wang menggunakan kad bank milik keldai akaun. Foto: SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
Rampasan wang tunai dan kad ATM susulan tumpasnya sindiket pengeluaran wang menggunakan kad bank milik keldai akaun. Foto: SINAR HARIAN-ROSLI TALIB

"Pergerakan kumpulan ini akan diberi melalui kumpulan WhatsApp dan Telegram.

"Suspek akan menerima kad-kad ATM daripada runner sindiket kemudian akan mengeluarkan wang tunai melalui mesin ATM di sekitar Lembah Klang," katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, setiap hari kumpulan ini dikehendaki mengeluarkan wang tunai sehingga mencapai sasaran kira-kira RM200,000 sebelum diserahkan kepada 'runner' atau ahli sindiket lain atas pelbagai tujuan termasuk pembelian mata wang digital.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti sindiket ini aktif sejak bila.

"Kesemua suspek telah direman untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Tegas Hussein, polis mengingatkan orang ramai tidak terpedaya dengan tawaran diberikan oleh sindiket untuk menyewa dan serah akaun serta kad ATM hingga mengakibatkan menjadi keldai akaun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!