Mesyuarat Setiausaha PH Negeri cetus tanda tanya

Hatta ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan
Hatta ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan
A
A
A

PUTRAJAYA- Ketika Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dijangka akan memuktamadkan transisi peralihan kuasa Perdana Menteri beberapa jam lagi satu mesyuarat Ketua Setiausaha bersama Setiausaha Negeri berlangsung di pejabat Ketua Seketeriat PH, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Wisma Putra petang tadi.

Difahamkan mesyuarat tersebut diadakan kali kedua selepas PH mentadbir kerajaan pada 2018.

Antara yang dilihat tiba dan memasuki bangunan Wisma Putra adalah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin; ADUN Tanjung Sepat yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah selain Saifuddin.

Mesyuarat yang berlangsung jam 5.30 petang itu selesai sejam kemudian.

Ketika ditemui pemberita di luar Wisma Putra, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, perbincangan lebih berkisar kepada operasi seketeriat dan parti di peringkat negeri.

"Mesyuarat untuk mengutarakan beberapa cadangan dan mendengar perancangan masing-masing supaya operasi dapat diperkemaskan," katanya.

Ditanya mengenai mood mesyuarat tersebut, Hatta menyifatkan ia berlangsung secara mesra.

"Saya yang mempengerusikan, banyak ketawa dari sedih dan mesra," katanya.

Artikel Berkaitan:

Johari Abdul
Johari Abdul

Sementara itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, mesyuarat bersetuju untuk diadakan lebih kerap.

"Kita bersetuju untuk adakan empat kali setahun. Kita tak mahu macam BN dahulu setahun sekali," katanya.

Ditanya mengenai adakah mesyuarat turut membincangkan transisi peralihan kuasa, Hatta dan Johari senada tiada perbincangan dibuat mengenai perkara itu.

"Tiada...Bukan level kami untuk bincangkannya," katanya.

Dalam pada itu, kenderaan yang membawa Saifuddin tidak berhenti ketika didekati pemberita.