Integriti sambut baik kaedah lantik KP DBP

Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin
Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Integriti Malaysia (Integriti) menyifatkan langkah melantik Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu secara terbuka menerusi pendekatan temu duga sebagai pendekatan konstruktif dalam memperkukuhkan keterbukaan dan ketelusan tadbir urus organisasi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pendekatan yang dibawa oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik itu akan menyumbang kepada usaha meningkatkan amalan budaya berintegriti, khsusunya dalam operasi dan pengurusan DBP, salah satu agensi di bawah Kementerian Pendidikan.

"Dari segi amalan budaya berintegriti, langkah DBP wajar diikuti oleh semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan agar dapat memastikan tiada kepentingan individu mahupun kepentingan politik dibuat bagi pemilihan jawatan tertinggi seperti ketua pengarah," kata beliau.

Kata Ahmad Fadzli, beliau mengucapkan tahniah kepada pengurusan DBP yang menerokai pendekatan menemu duga calon-calon bagi jawatan tertinggi DBP itu.

"Ini satu contoh baik dalam landskap pentadbiran yang baharu. Saya yakin ia membawa impak positif dalam jangka panjang.

"DBP juga sudah mengambil beberapa tindakan bagi memperkukuhkan budaya berintegriti dan sistem tadbir urus sebelum ini... bagi saya ini satu usaha susulan ke arah lebih baik," kata beliau mengulas pengisian jawatan ketua pengarah DBP, di mana dalam sejarah agensi berkenaan pelantikan dibuat berdasarkan markah keseluruhan tertinggi yang diperolehi oleh calon melalui sesi temu bual.

"Seterusnya calon berkenaan akan diberikan perakuan oleh Lembaga Pengelola DBP sebelum mendapat kelulusan menteri pendidikan dan persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tindakan lantikan secara rasmi Ketua Pengarah," katanya.

Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah dilantik bagi mengisi jawatan ketua pengarah berdasarkan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan ketua pengarah DBP secara temu duga merupakan antara inisiatif yang diumumkan oleh Maszlee sejak menerajui Kementerian Pendidikan.