Pemandu kereta bawa dadah rempuh pagar tadika

MELAKA - Gara-gara sebuah kereta merempuh pagar sebuah tadika di Paya Luboh, Tangga Batu di sini pada malam Rabu, polis berjaya membongkarkan pemandu kereta itu membawa lebih 15 gram dadah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, anggota polis yang tiba di lokasi kejadian lebih kurang jam 11.39 malam selepas menerima aduan telah membuat pemeriksaan ke atas lelaki berusia 56 tahun yang memandu kereta jenis Nissan Teena.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di badan individu terbabit telah menjumpai satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin berat kasar 15.46 gram yang disorokkan dalam poket kanan seluar jeans dipakainya.

"Selepas pemeriksaan lelaki itu dibawa ke Hospital Melaka bagi pemeriksaan kesihatan.
"Bagaimanapun pihak hospital mengesahkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan itu," katanya pada Khamis.
Tambahnya, polis kemudian bertindak merampas barang kes dan menangkap suspek sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan saringan ujian air kencing tidak dapat dilakukan kerana suspek gagal memberi sampel air kencing.
"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

