Tumbuk nenek: Polis buru Shamsul Atin

KUALA SELANGOR: Polis kini mengesan seorang lelaki dipercayai dapat membantu siasatan kes seorang wanita berusia 73 tahun mengalami kecederaan selepas ditumbuk seorang lelaki yang menceroboh rumahnya di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, lelaki terbabit dikenali sebagai Shamsul Atin berusia 34 tahun dengan alamat terakhir di Lot 188, Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan.
"Siasatan awal mendapati suspek adalah jiran kepada mangsa yang juga wanita warga emas berusia 73 tahun.
"Ketika kejadian, mangsa menetap seorang diri di rumah. Suspek datang dan masuk melalui pintu rumah yang terbuka," katanya dalam satu kenyataan itu pada Khamis.
Mengulas lanjut, Azaharudin berkata, suspek terus menerkam dan menumbuk ibu tunggal berkenaan.
Menurutnya, ketika pergelutan mangsa menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek melarikan diri.
"Wanita warga emas meminta bantuan jiran dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan.
"Mangsa mengalami lebam di mata kiri dan luka di bibir akibat ditumbuk suspek," katanya.
Azaharudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447/323 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

