Hilux, Vios dipandu melulu, rempuh dua individu

Tangkap layar video tular memaparkan kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios bertindak merempuh sekumpulan individu berdekatan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini.
Tangkap layar video tular memaparkan kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios bertindak merempuh sekumpulan individu berdekatan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Umpama dalam filem aksi, itu situasi cemas yang berlaku berdekatan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama apabila sekumpulan individu dirempuh dua kenderaan mengakibatkan dua cedera, Selasa lalu.

Kejadian itu dirakam oleh orang awam sebelum didapati tular di media sosial memaparkan Toyota Hilux dan Toyota Vios awalnya dilihat memandu secara melulu.

Dua kenderaan terbabit secara tiba-tiba merempuh sekumpulan individu yang berada di tepi jalan dekat pusat hiburan di lokasi terbabit.

Beberapa individu dilihat cuba menghalang tindakan pemandu kedua kenderaan terbabit namun gagal.

Video berdurasi 48 saat itu turut memaparkan dua kenderaan itu dilihat beberapa kali melanggar individu di lokasi berkenaan sebelum berlalu pergi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya daripada orang awam yang menyaksikan kejadian.

"Siasatan dijalankan mendapati dua kenderaan terlibat iaitu Toyota Hilux dan Toyota Vios dilihat merempuh sekumpulan individu di lokasi berkenaan.

"Kejadian mengakibatkan dua individu mengalami kecederaan dan salah seorang mangsa kemudiannya di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan punca kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini individu yang terlibat masih belum membuat laporan polis

"Kami telah membuka siasatan cubaan membunuh berhubung insiden tersebut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau mana-mana balai polis berdekatan.

Tular video pada Selasa memaparkan dua kenderaan bertindak merempuh sekumpulan individu berdekatan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!