Perkasa silat dalam filem

MESKIPUN filem yang mengangkat seni silat bukan baharu di negara ini, namun ia tidak menghalang syarikat produksi Katana Film untuk terus memperkasakan seni bela diri itu.
Percaya silat mempunyai peminat tersendiri di negara ini, mendorong syarikat produksi itu menghasilkan filem Strike: Silat Cult Master.
Penerbit Mallory Lee berkata, kelainan yang ditampilkan dalam filem berkenaan apabila ia menggabungkan aksi silat dengan kisah fiksyen moden.

“Idea untuk menghasilkan filem ini tercetus daripada inspirasi permainan video arked pertempuran yang cukup popular sekitar era 1990-an.
“Jalan ceritanya pula cukup ringkas dan saya lebih fokus kepada babak-babak aksi pertarungan kerana saya yakin ia mampu menarik minat penonton filem aksi,” ujarnya yang juga bertindak sebagai pengarah.
Strike: Silat Cult Master berkisar tentang dunia pertarungan bawah tanah (underground), di sebalik kisah seorang lelaki mencari pembunuh ibunya dan bergabung dengan beberapa individu lain untuk menentang sebuah kumpulan yang kejam.

Mallory berkata, dia memilih silat untuk diangkat dalam naskhah berkenaan kerana ia adalah salah satu cara untuk mempromosikan budaya Malaysia menerusi filem.
“Walaupun ada pelbagai seni mempertahankan diri, namun saya melihat silat ini lebih berunsur heroik dan kaya dengan sejarah yang tersendiri.
“Misalnya kalau filem Hong Kong, ia sudah sinonim dengan Kung Fu. Jadi, saya ambil pendekatan untuk memilih silat supaya dapat menarik penonton tempatan dan antarabangsa,” jelasnya lagi.
Dengan gabungan elemen silat dan fiksyen moden, Mallory menjelaskan dia melihat filem Strike: Silat Cult Master ini sebagai satu perubahan trend dalam filem aksi di Malaysia.
“Ini bukan sekadar filem seni mempertahankan diri semata-mata, tetapi juga sebuah usaha untuk membuka lembaran baharu dalam industri perfileman di Malaysia.
“Saya harap ia menjadi pencetus kepada trend baharu yang mampu memartabatkan silat di peringkat antarabangsa dan mengubah persepsi penonton terhadap seni mempertahankan diri ini,” katanya.
Strike: Silat Cult Master akan ditayangkan di pawagam pada 13 Februari depan, filem tersebut menampilkan barisan muka baharu seperti Aiman Ameer yang juga juara Hero Remaja 2023, Azri Safix (finalis Hero Remaja) dan Fify Azmi.
Tidak ketinggalan dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Jay Iswazir, Trisha Ooi serta Ayez Shaukat juga seorang penggusti tempatan yang cukup dikenali ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!