Tiga cedera dalam insiden rempuhan di hadapan pusat hiburan

KUALA LUMPUR - Tiga mangsa termasuk seorang wanita cedera akibat dirempuh dua buah kenderaan di luar sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kesemua mangsa merupakan warga tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Beliau berkata, seorang mangsa lelaki yang cedera telah dihantar dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun sudah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.
"Dua lagi mangsa termasuk seorang wanita hanya mengalami luka ringan dan tidak menerima rawatan di hospital," katanya pada Sabtu.
Sementara itu, kata beliau, lima suspek yang ditahan berkaitan kes tersebut, direman antara lima hingga tujuh hari.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan beberapa individu cedera selepas dirempuh dua kenderaan jenis Toyota Vios dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu secara melulu di hadapan sebuah kelab hiburan di Jalan Klang Lama di sini pada jam 6.18 pagi, Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
