Tiada unsur jenayah, kecuaian dalam letupan kilang kimia - Polis

KLANG - Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian letupan di sebuah kilang memproses bahan kimia di kawasan Taman Perindustrian Kapar Indah, 20 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan turut mendapati tiada unsur kecuaian yang mengakibatkan berlakunya kejadian.
Beliau berkata, pihaknya membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) berhubung siasatan berkaitan kejadian.
"Polis telah merakam keterangan pemilik kilang berkenaan, dan siasatan mendapati kejadian berpunca akibat reaksi bahan kimia.
"Berdasarkan siasatan dijalankan juga turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau kecuaian akibat kejadian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program walkabout sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Eng Ann di sini pada Selasa.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei.
Vijaya Rao berkata, buat masa ini kilang terbabit masih ditutup dan tidak beroperasi.
"Siasatan ketika ini masih dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Ia merangkumi serta menumpukan soal berkaitan faktor kawasan premis terbabit," jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 33 mangsa cedera ringan dalam kejadian letupan di sebuah kilang memproses bahan kimia di Taman Perindustrian Kapar Indah pada 20 Januari lalu.
Seramai 31 daripadanya mendapat rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) manakala dua lagi di hospital swasta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

