X

Kindly register in order to view this article
!

Fahami budaya pelbagai kaum

Jamaliah menyantuni warga emas pada sambutan Tahun Baru Cina di Damansara baru-baru ini.
A
A

MEMASUKI usia 63 tahun kemerdekaan negara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin mahu pendekatan saling bertoleransi dan bertolak ansur antara kaum diluaskan kepada konsep saling mencintai dan hidup bagaikan sebuah keluarga.

Katanya, perasaan curiga antara kaum yang masih wujudkan di negara ini berpunca daripada sikap sesetengah rakyat yang mudah dipengaruhi sentimen perkauman sempit yang cuba dihidupkan pihak tertentu termasuk ahli politik.

“Salah satu sebab kita cepat beremosi adalah perpaduan antara kaum belum cukup utuh.

“Kita belum cukup kenal antara satu sama lain, tak faham budaya masyarakat lain dan takut hendak bergaul dengan kaum lain.

“Jadi, kita perlu ada usaha untuk belajar dan memahami budaya berbilang kaum. Orang luar kagum melihat budaya Malaysia.

“Mereka sanggup datang ke Malaysia semata-mata untuk belajar kepelbagaian budaya di negara ini, kenapa tidak kita sebagai warganegara?” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, rakyat Malaysia juga harus memiliki perasaan ingin tahu akan budaya kaum lain jika mahu mengeratkan hubungan sesama rakyat.

“Tak salah meraikan kepelbagaian asalkan tidak terpesong daripada ajaran Islam,” kata ADUN daripada DAP berusia 31 tahun ini.

Bahasa

Jamaliah ialah anak tunggal kepada bekas penyampai radio, Jamaluddin Ibrahim dan cucu kepada Shamsiah Fakeh yang merupakan ketua perajurit Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Anak jati Kuala Lumpur itu juga mahir berbahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris. Bagi Jamaliah, kemahiran itu memudahkannya bertutur dalam pelbagai bahasa mengikut kesesuaian majlis.

Beliau mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan dan kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin itu dipelajari di rumah kerana ibunya berketurunan Cina.

“Pada saya semakin banyak bahasa kita mahir semakin bagus. Adakala maksud yang ingin disampaikan lebih difahami jika kita menggunakan bahasa ibunda sesuatu kaum,” katanya.

Jamaliah
Jamaliah

Dilahirkan dalam keluarga campuran Melayu dan Cina menyebabkan Jamaliah berfikiran terbuka dan lebih memahami erti perpaduan.

“Rakyat Malaysia bukan tidak bersatu cuma erti sebenar perpaduan belum cukup utuh dalam diri mereka dan ia masih boleh diperbaiki.

“Menerusi pergaulan antara dua keluarga Cina dan Melayu menyebabkan saya meraikan lebih daripada satu perayaan. Secara tak langsung ia mendekatkan saya dengan budaya dan tradisi pelbagai kaum,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat DUN Bandar Utama turut mempromosikan keunikan masyarakat pelbagai budaya melalui Karnival Rasa Sayang yang diadakan secara tahunan sejak Jamaliah menjadi wakil rakyat di situ.

Karnival sehari itu menghimpunkan berbagai permainan tradisi, persembahan tarian dan makanan bagi menarik orang ramai memahami keunikan budaya yang ada di negara ini.

“Itu adalah usaha saya sebagai wakil rakyat demi menghidupkan semangat muhibah dan perpaduan antara kaum khususnya di kawasan DUN saya.

“Pada masa sama, saya juga mengadakan program bersama anak muda dengan mengundang aktivis untuk berkongsi pengalaman berkaitan,” katanya.

Beliau berpandangan aspek perpaduan perlu melibatkan semua pihak daripada rakyat biasa, media dan kerajaan.

“Ia bergerak dalam satu bulatan dan saling berkait.

“Perubahan itu boleh dilakukan oleh kerajaan melalui polisi dan dasar dalam semua kementerian sementara rakyat mesti ada usaha untuk memahami keunikan budaya kaum lain,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus