Sekolah Patriotik UMNO dapat permintaan tinggi anak muda - Wan Rosdy

LIPIS - Sekolah Patriotik UMNO akan mengadakan sesi temu duga untuk kumpulan kedua susulan permintaan tinggi golongan muda untuk menyertai sekolah tersebut yang dilancarkan pada Ahad.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perintis pertama dinamakan Patriot 1 sebelum ini tidak menjalani proses temu duga namun kali ini kita laksanakan temu duga.
"Selain itu, kita juga mungkin melatih Pemuda, Puteri UMNO di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik, Bentong," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Serbaguna SJK (C) Jerkoh, Kampung Baru Jerkoh di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Sekolah Patriotik UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Ahad dengan 50 pelajar berusia 18 hingga 39 tahun sebagai perintis.
Ujar Wan Rosdy lagi, beliau yakin apabila pelajar dibekalkan ilmu yang tidak boleh diperoleh di mana-mana institusi, mereka akan mendapat suntikan semangat baharu dan memahami perjuangan UMNO yang sebenar.
"Kita mungkin akan melihat perubahan ini dalam tempoh sedekad lagi atau lebih cepat," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

