Jojo, wajah kacak yang membanggakan

Sejujurnya, Merak Jalanan bukanlah penggemar Muay Thai. Namun disebabkan nama Johan Ghazali, anak muda yang baru berusia 18 tahun ini, membuatkan sukan ini antara yang menjadi perhatian di negara kita.
Ini kerana Johan atau lebih mesra dengan panggilan Jojo telah berjaya melakar banyak kejayaan di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara.
Namun, adat pertandingan ada menang, ada kalah, begitu juga dengan Jojo. Tak semua pertandingan yang disertai dia akan menang.
Seperti baru-baru ini, kekalahan Jojo di tangan Johan Estupinan di ONE 170.
Walaupun tewas, namun kekalahan Jojo masih membanggakan rakyat Malaysia. Antara sebabnya, Jojo masih muda, iaitu baru berusia 18 tahun, masih banyak masa dan peluang menyertai pelbagai pertandingan.
Jojo sangat positif dan tidak memberi alasan. Katanya, dia akan kembali menjadi juara. Ya, semangat itulah yang kita mahukan. Bagus Jojo ini kerana dia tak mudah terkesan. Nampak dia benar-benar bersemangat untuk menang.
Namun, dari satu segi, Merak Jalanan berharap agar Jojo tidak mudah koyak jika ada komen-komen negatif di sebalik kekalahannya itu. Antaranya apabila ada mengaitkan dengan dunia glamor yang dia lalui sekarang.
Tidak dinafikan, Jojo sangat popular, sangat diminati kerana dia juga punya wajah kacak dan personaliti yang menarik. Pernah muncul sebagai model baju Melayu, muncul di kaca TV dan radio sehingga menjadikan Jojo sebagai selebriti sukan yang popular.
Bagi Merak Jalanan, populariti itu adalah perkara yang Jojo tidak boleh nak halang. Apa sahaja yang dilakukan akan mendapat perhatian. Cuma yang mampu menjadi perisainya adalah diri Jojo sendiri.
Merak Jalanan yakin, Jojo tidak mudah hanyut dengan glamor. Semoga Jojo kekal fokus dengan sukan yang diceburi ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
