20dB Hearing, PMG tingkat kerjasama penjagaan pendengaran di Malaysia

SHAH ALAM - Jalinan kerjasama strategik antara 20dB Hearing Sdn Bhd dan PMG Healthcare akan meningkatkan akses serta penyelesaian kepada kesihatan pendengaran yang lebih berkualiti di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 20dB, Mok Yong Yaw berkata, gabungan rangkaian penjagaan kesihatan secara meluas antara PMG dan kepakaran khusus 20dB Hearing bakal menghasilkan pendekatan penjagaan kesihatan lebih holistik.
Katanya, kerjasama ini adalah langkah penting dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan pendengaran yang semakin meningkat di Malaysia.
“Kesihatan pendengaran sering diabaikan tetapi ia adalah asas penting untuk kualiti hidup.
“Dengan kerjasama PMG, kami bertekad memastikan penjagaan pendengaran menjadi keutamaan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif PMG Healthcare, Dr Chieng King Chong berkata, kerjasama tersebut penting bagi memperluaskan akses kepada penyelesaian pendengaran terkini seperti alat bantuan pendengaran dan implan koklea.
Tambahnya, usaha bersama itu bertujuan memberi impak positif jangka panjang terhadap kesihatan masyarakat dengan mengintegrasikan penjagaan pendengaran ke dalam ekosistem lebih meluas.
“20dB Hearing dan PMG Healthcare menetapkan standard baharu dalam penjagaan kesihatan pendengaran di Malaysia bagi memastikan setiap individu berpeluang mendengar dan menjalani kehidupan lebih baik,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
