Lawatan negara Prabowo ke Malaysia bukti komitmen hubungan dua hala

Prabowo
Prabowo
A
A
A

SHAH ALAM - Lawatan negara Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia yang dijadualkan Isnin melambangkan komitmen kedua-dua negara untuk melonjakkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, selaku negara tetangga serumpun dan dua negara pengasas ASEAN, lawatan itu mencerminkan hubungan persahabatan yang istimewa dan erat antara Malaysia dan Republik Indonesia.

“Ini merupakan lawatan ketua negara asing pertama ke Malaysia selepas pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.

“Ia juga lawatan negara pertama Presiden Prabowo ke negara di rantau Asia Tenggar selepas pelantikan beliau sebagai Presiden Republik Indonesia pada 20 Oktober tahun lalu,” katanya pada Ahad.

Semasa lawatan berkenaan, Prabowo akan diiringi oleh menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan selain turut disambut dengan Istiadat Sambutan Negara dan diikuti kunjungan menghadap Sultan Ibrahim.

Beliau turut dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

“Keutuhan jalinan yang harmoni dan strategik ini mencakupi pelbagai bidang kerjasama yang komprehensif seperti politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya,” katanya.

Sebelum ini Wisma Putra memaklumkan, Republik Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan keseluruhan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion) pada 2023.

Artikel Berkaitan:

Bermula Januari hingga November 2024, jumlah dagangan dua hala telah direkodkan kepada RM106.06 bilion (USD23.2 bilion) meningkat daripada RM101.99 bilion (USD22.41 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!