KPKT, MOTAC jadikan pasar awam produk pelancongan

IPOH - Pasar awam lama yang siap dinaik taraf dan bina baharu akan disenaraikan sebagai produk pelancongan negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menyediakan senarai tersebut bagi tujuan promosi untuk diperkenalkan kepada pelancong.
Menurutnya, usaha tersebut bukan sahaja membantu merancakkan ekonomi setempat, tetapi menyumbang kepada industri pelancongan yang menjadi sumber pendapatan kedua terbesar negara.
"Ini memang dalam perancangan kita kerana pasar kini bukan lagi sekadar tempat beli-belah.
"Pasar mempunyai peranan baru khususnya pembinaan pasar melebihi RM10 juta ke atas yang menjalani transformasi, sesuai diperkenalkan sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Pasir Pinji dan lawatan ke Pasar Taman Canning di sini pada Ahad.
Kor Ming berkata, kementeriannya kini memberi tumpuan terhadap usaha menaik taraf pasar-pasar warisan berusia lebih 50 tahun yang mempunyai ciri keunikan dan tarikan sedia ada.
Katanya, usaha yang dilakukan itu termasuklah meluluskan peruntukan RM15 juta bagi pembangunan semula Pasar Besar Ipoh agar lebih bercirikan moden dan berdaya tarikan.

"Pasar ini memang ada tarikannya sendiri ditambah pula kedudukannya yang strategik di tengah-tengah pusat bandar.
"Jadi kita nak kembalikan nostalgia dan kegemilangan pasar ini menjadi tumpuan warga yang datang ke Ipoh, kalau boleh biar jadi seperti Central Market di Kuala Lumpur.
"Kita turut mengalu-alukan permohonan daripada semua 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menaik taraf pasar-pasar di kawasan pentadbiran mereka," katanya.
Sementara itu, pembinaan semula Pasar Pasir Pinji yang berusia lebih 50 tahun akan melibatkan kerja perobohan struktur asal, 214 unit ruang niaga, 84 petak tempat letak kereta termasuk mesra orang kurang upaya (OKU), 42 petak motosikal dan tiga lori.
Kerja-kerja yang melibatkan kos RM16 juta tersebut telah dimulakan pada November lalu dijangka mengambil masa 24 bulan dan dijangka siap pada November 2026.
Bagi naik taraf Pasar Taman Canning pula, KPKT telah meluluskan RM500,000 meliputi kerja-kerja mengecat, pendawaian, penggantian pagar lama dan menambah baik landskap.
Selain itu, sebanyak 50 lot parkir akan ditambah di sekitar Taman Canning bagi menampung keperluan orang awam memandangkan kawasan tersebut menjadi lokasi tumpuan singgah ke Restoran New Hollywood dan Restoran Vegas yang popular kalangan pelancong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!