Pas dijangka kembali bertanding di PRN Sabah

Mohd Amar (kanan) bersalaman dengan kanak-kanak di Kenduri Keluarga Keturunan Tuan Lembut. FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.
Mohd Amar (kanan) bersalaman dengan kanak-kanak di Kenduri Keluarga Keturunan Tuan Lembut. FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas dijangka kembali bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang selepas tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Dr Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun belum ada perbincangan secara rasmi antara Pas Sabah dan Pusat.

“Cuma kami dengar ada hasrat Pas Sabah untuk bertanding.

“Itu adalah hasrat mereka, tetapi parti di peringkat Pusat belum berbincang secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Keluarga Keturunan Tuan Lembut di Kampung Berhala Lima di sini pada Sabtu.

Keluarga Keturunan Tuan Lembut yang berkumpul di Kota Bharu pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.
Keluarga Keturunan Tuan Lembut yang berkumpul di Kota Bharu pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Dalam pada itu, Mohd Amar turut memaklumkan berhubung calon yang akan mewakili parti berkenaan pada PRN terbabit juga masih belum diketahui, namun Pas Sabah diyakini sudah bersedia apabila menyatakan hasrat bertanding.

“Apabila Pas Sabah sudah putuskan untuk bertanding biasanya dah ada calon.

Artikel Berkaitan:

“Berkemungkinan bertanding beberapa kerusi tetapi kami belum bincang secara rasmi sebab tak ada permohonan rasmi lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, pada PRU15 lalu Pas Sabah tidak meletakkan calon seperti kebiasaannya susulan keputusan untuk memberi laluan kepada rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) Sabah.

Dalam pada itu, mengulas mengenai desas-desus pengganti Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berundur dari jawatan Bendahari Agung PN baru-baru ini, Mohd Amar berkata, nama baharu akan dikemukakan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tambahnya, pihak parti masih belum melakukan apa-apa perbincangan berhubung pengganti terbabit.

“Sudah tentu harapan yang ganti itu pun orang baik juga.

“Bergantung kepada Presiden Pas kerana beliau lebih tahu dan kami serah pada presiden,” katanya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Bulan lalu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN yang disampaikan menerusi kenyataan ringkas kepada pimpinan tertinggi Pas Pusat.

Dalam kenyataan itu, Ahmad Samsuri juga Menteri Besar Terengganu memaklumkan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pimpinan PN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!