Harimau Malaya semakin hampir diperkuatkan pemain warisan baharu

Harimau Malaya bakal membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dengan pemain warisan baharu. FOTO: FAM
Harimau Malaya bakal membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dengan pemain warisan baharu. FOTO: FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya akan tampil lebih garang pada aksi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 apabila akan diperkuatkan dengan pemain warisan baharu.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengesahkan sekurang-kurangnya empat pemain warisan baharu akan menyertai pasukan selepas proses mendapatkan kerakyatan selesai.

Selain itu, empat pemain warisan lagi sedang dalam proses untuk melengkapkan dokumentasi.

"FAM ingin memaklumkan bahawa proses mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi empat pemain warisan baharu kini sedang menunggu kelulusan muktamad daripada kerajaan Malaysia.

"Selain itu, FAM juga dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat pemain lain," kata FAM dalam satu kenyataan.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail baru-baru ini mendedahkan sekurang-kurangnya tujuh pemain warisan telah dikenal pasti dan boleh memperkuatkan Harimau Malaya.

Baginda yang juga penggerak utama revolusi Harimau Malaya turut mendedahkan kebanyakan pemain warisan yang dikenal pasti itu dari Eropah Selatan.

Dalam pada itu, FAM turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan dalam usaha meningkatkan mutu pasukan Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Skuad kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan aksi pertama Kumpulan F menentang Nepal pada 25 Mac depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!