'Berbaloi beli buku, al-Quran RM700'

SHAH ALAM - Pengunjung yang hadir pada Jualan Gudang Karangkraf 2025 tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai produk buku dengan harga promosi pada hari pertama ia berlangsung.
Menurut pekerja swasta, Mazianudin Salleh, 50, dia membelanjakan hampir RM700 untuk memborong al-Quran dan buku ilmiah.
“Tawaran potongan harga melalui jualan gudang ini amat dinantikan dan jumlah perbelanjaan pada hari ini sudah dikira murah sebab ada diskaun sebanyak 15 hingga 80 peratus.
“Saya rasa cukup berbaloi demi bahan bacaan yang menambah ilmu pengetahuan sekeluarga selain terus memupuk minat membaca anak- anak,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jualan gudang menjadi program sulung Kumpulan Karangkraf bagi tahun 2025 dan kembali menemui penggemar buku bermula 24 Januari hingga 2 Februari pada jam 9 pagi hingga 7 malam.
Bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapat tawaran diskaun harga berpatutan malah terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disajikan sepanjang program berlangsung.
Mazianudin berharap Karangkraf terus mengadakan jualan seumpama itu dengan lebih kerap kerana membantu orang ramai berjimat dalam perbelanjaan.
“Ini kunjungan kali pertama ke Jualan Gudang Karangkraf kerana sebelum ini saya membeli bahan bacaan melalui dalam talian.
“Saya tahu mengenai jualan gudang ini melalui pemakluman di media sosial dan mengajak isteri untuk datang.
“Saya rambang mata melihat banyak buku dijual dengan harga cukup murah. Lebih mudah untuk kami memilih bahan bacaan sesuai apabila melihat secara fizikal,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

