Sudah capai 38 juta pelancong, MOTAC kaji sasaran baru TMM2026

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini sedang mengkaji semula sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) susulan kejayaan sektor pelancongan negara yang melebihi jangkaan awal.
Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sasaran asal 36 juta pelancong antarabangsa mungkin akan dinaikkan selepas Malaysia berjaya menarik 38 juta pelancong pada 2024, jauh melebihi ramalan yang dibuat.
“Kita sudah mencapai 38 juta pelancong pada tahun lalu, jadi sudah tiba masanya untuk mengkaji semula sasaran TMM2026.
"Jika kita kekalkan angka 36 juta, ia akan menjadi sasaran yang lebih rendah berbanding pencapaian semasa.
“Kami akan semak semula sasaran ini agar ia lebih realistik dan dapat memberi impak ekonomi yang lebih besar kepada negara melalui sektor pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, kementerian juga menetapkan sasaran untuk menjana sekurang-kurangnya RM150 bilion hasil daripada sektor pelancongan, dengan fokus pada usaha meningkatkan perbelanjaan per kapita pelancong asing.
Menurut beliau, kementerian juga akan melancarkan kempen berskala besar yang memfokuskan produk pelancongan berkualiti tinggi, termasuk segmen pelancongan mewah.
“Sekarang kita berada pada tahap RM3,000 per kapita, tetapi kita sedang berusaha untuk meningkatkan nilai ini. Apabila pelancong membelanjakan lebih banyak, ekonomi tempatan akan menerima manfaat besar.
“Kami akan melihat data terkini untuk menetapkan sasaran yang lebih relevan dengan trend pelancongan global. Kita juga perlu pastikan ada produk eksklusif yang mampu menarik minat mereka.
“Semua sektor, termasuk industri perhotelan, restoran mewah dan penganjur aktiviti premium, harus bekerjasama untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong kelas atasan dan kelas pertengahan,” tambah beliau.
Selain mempromosikan destinasi pelancongan utama, kementerian juga akan meningkatkan promosi untuk sektor rumah inap dan pelancongan luar bandar melalui pelbagai kempen serta aktiviti.
“Kami mahu pelancong merasai sendiri keunikan Malaysia yang pelbagai kaum. Sebagai contoh, di Sarawak, kita boleh menawarkan pengalaman tinggal di rumah panjang, mencuba makanan tempatan, dan menyertai aktiviti komuniti.
“Kami ingin pastikan pelancong bukan hanya datang, tetapi juga berbelanja, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat,” katanya.
Menurut beliau, promosi ini akan dijalankan melalui platform digital dan pempengaruh dari dalam dan luar negara bagi memastikan mesej mengenai industri pelancongan negara dapat disampaikan secara meluas dan berkesan.
“Semua platform media sosial akan digunakan, termasuk kerjasama dengan selebriti dan pempengaruh tempatan serta antarabangsa. Kami juga akan memanfaatkan pendekatan baru supaya promosi kami lebih meluas.
“Kami akan memperkenalkan lebih banyak kandungan video menarik untuk menunjukkan keunikan budaya dan destinasi tempatan kepada dunia,” katanya.
Beliau juga mengingatkan agar semua pihak tidak memperbesarkan isu video promosi TMM2026 yang tular baru-baru ini, sambil memberi jaminan bahawa versi penuh akan dilancarkan dalam masa terdekat.
“Video berdurasi 41 saat yang tular itu bukanlah video promosi penuh. Bagi video yang baru, kementerian akan memastikan semua elemen penting, termasuk masjid dan tempat keagamaan, dimasukkan dalam versi yang akan datang.
“Jangan jadikan isu ini sebagai polemik yang boleh menjejaskan reputasi negara sebagai destinasi pelancongan,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!