P2 Biotech sahut saranan TPM revolusi teknologi industri getah

SYARIKAT peneraju dalam inovasi teknologi pertanian, P2 Biotech menyambut baik seruan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan keperluan revolusi teknologi dalam industri getah semasa Konvensyen Pegawai RISDA 2025.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif P2 Biotech, Mohd Hazim Nordin dalam satu kenyataan, seruan ini selaras dengan visi P2 Biotech untuk memodenkan sektor getah, memperkasakan pekebun kecil, serta menarik minat generasi muda ke dalam industri strategik ini.
Sebagai langkah responsif, P2 Biotech memperkenalkan inovasi terkini mereka, iaitu P2 Tap selaras dengan iltizam kerajaan untuk mengadaptasi teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan pertanian pintar.
Sistem penorehan getah berteknologi tinggi ini mampu memaksimumkan hasil lateks, mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja manual dan memastikan operasi penorehan dapat diteruskan tanpa mengira keadaan cuaca.
"P2 Tap bukan sekadar inovasi tetapi transformasi besar yang bakal mengubah landskap industri getah.
"Dengan automasi dan teknologi pintar, ia meningkatkan produktiviti sekali gus menjadikan sektor ini lebih menarik untuk generasi muda," katanya.
Sebelum ini, Malaysia menyasarkan untuk kembali menjadi pengeluar getah nombor satu dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Ahmad Zahid berkata, sasaran tersebut adalah realistik sekiranya usaha penanaman semula dan inovasi dalam industri getah dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik.
Beliau menyatakan, P2 Biotech terbuka untuk bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi menyokong inisiatif kerajaan.
Jelas beliau, pihaknya sedia untuk berkongsi teknologi dan kepakaran P2 Biotech dalam memperkasakan pekebun kecil dan memodenkan industri getah.
Mohd Hazim turut menyatakan sokongan terhadap tiga kluster utama digariskan oleh Timbalan Perdana Menteri iaitu modal insan, ekonomi, dan keusahawanan.
Katanya, melalui kerjasama strategik, P2 Biotech berhasrat untuk meningkatkan latihan kemahiran, amalan pengurusan moden dan pendidikan teknikal untuk pekebun kecil.
"Syarikat ini juga bersedia meneroka peluang perniagaan baharu dan memperluaskan akses pasaran, menyumbang kepada kemakmuran ekonomi sektor ini.
"Sistem P2 Tap turut seiring dengan misi RISDA untuk melahirkan lebih ramai usahawan pekebun kecil. Mengurangkan keperluan fizikal dalam penorehan getah dan meningkatkan keuntungan, inovasi ini mencipta laluan bagi pekebun kecil untuk menjadi usahawan agripreneur yang berjaya.
"Adanya teknologi seperti P2 Tap, syarikat ini yakin bahawa industri getah mampu mengukuhkan legasinya untuk generasi akan datang sambil mencapai ketahanan dan pertumbuhan jangka panjang," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!