Mahathir tetap Mahathir, ada 'taji' lain kejutkan PH: Rais

 Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr Rais Yatim memberi gambaran sesuatu akan berlaku sebelum November ini.

Rais menerusi Twitternya, dipercayai merujuk kepada isu peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Berita yang mendesak Dr Mahathir memuktamadkan tarikh peletakan jawatan terus diperkatakan semua.

“Dengan mengatakan berlaku pada November 2020, ia seperti tidak cukup bagus kepada ‘pengawas’ Pakatan Harapan (PH) yang lain.

“Sesuatu mungkin berlaku sebelum November. ‘Pengawas’ mungkin tidak tahu apa yang akan ‘pukul’ mereka nanti. Ada kuasa dan faktor lain yang sedang dilakukan,” katanya.

Rais ketika dihubungi Sinar Harian berkata, meskipun Dr Mahathir memutuskan untuk melepaskan jawatan pada November ini, namun ramai yang mendesak agar satu tarikh mengenai perkara itu dimuktamadkan.

Katanya, tindakan itu keterlaluan kerana jawatan Perdana Menteri mempunyai beberapa aspek kebitaraan termasuk Perlembagaan, legislatif, Yang di-Pertuan Agong dan lain-lain.

“Jawatan Perdana Menteri bukan dalam kuasa Ahli Majlis Presiden walaupun majlis itu boleh lantang bercakap.

Artikel Berkaitan:

“Dalam perlembagaan kerajaan Kabinet, bila Perdana Menteri letak jawatan, semua menteri secara kolektif akan hilang jawatan masing-masing.

“Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail), Lim Guan Eng dan lain-lain mesti dianggap tidak lagi memegang jawatan Kabinet. Ini terasas dalam konsep dan konvensyen pewujudan Kabinet,” katanya.

Apabila situasi itu berlaku, Rais berkata, Perdana Menteri boleh memohon membubarkan Parlimen dan terserah kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong atau pun diadakan undian pengekalan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, DAP berkemungkinan bersama Anwar dalam peralihan kuasa, namun undian tidak akan menyebelahi kelompok yang mahu menyingkirkan Dr Mahathir kerana Pas, UMNO dan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mungkin bersama dalam perkara tersebut.

“Benar dengan menyatakan beliau (Dr Mahathir) akan lepaskan jawatan perdana menteri November depan, kedudukan Tun menjadi 'lame duck' (itik patah sayap).

“Namun jangan lupa Mahathir tetap Mahathir yang saya kenal semenjak 1969. Dia ada 'taji lain' yang mungkin mengejutkan mereka semua.

“Guruh mungkin berdentum di langit tapi tak semestinya hujan serta-merta,” katanya.

Mesyuarat Majlis Presiden PH dijadualkan berlangsung malam esok di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya yang akan dipengerusikan Dr Mahathir.

Isu peralihan kuasa dijangka dibincangkan dan dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut seperti mana dimaklumkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan dengan Dr Mahathir pada 13 Februari lalu.

Dr Mahathir sebelum ini mengulangi janjinya untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) 2020 pada November depan.

Sekiranya pelan peralihan kuasa itu tidak dilaksanakan, pemimpin PKR memberi bayangan akan menggunakan ‘pelan B’ bagi memastikan Anwar diangkat sebagai perdana menteri kelapan.