Gabungan lapan parti dalam GRS mampu menang PRN17 - Hajiji

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KENINGAU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yakin gabungan lapan parti tempatan dalam GRS diyakini mampu memenangi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tahun ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan gabungan lapan parti itu sudah cukup mantap untuk berhadapan dengan saingan lawan.

"Kalau lapan parti ini sudah bergabung, saya tidak percaya kita boleh kalah pada PRN nanti, tidak mungkin. Dengan kejayaan dan pencapaian kita empat tahun ini tidak mungkin kita gagal pada PRN ini.

"Apa yang penting kita bersatu hati, walaupun berlainan pandangan, kita raikan, kita hormati. Tapi bila buat keputusan, kita satu hati kerana itulah yang akan membawa kejayaan kepada kita pada PRN akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau, di sini pada Khamis.

Ketika ini, GRS disertai oleh Gagasan Rakyat, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Cinta Sabah (PCS) Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Hajiji dalam pada itu turut mengulangi pendiriannya mengenai strategi politik yang harus dilaksanakan kerajaan negeri iaitu berbaik dengan Kerajaan Persekutuan.

"Dalam kita berpolitik kita mesti ada strategi, kita kena baik juga dengan Persekutuan. Kita dalam negara Malaysia, negeri mesti kerjasama dengan persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mesti belajar apa berlaku pada masa lalu apabila kita tidak kerjasama dengan persekutuan, apa jadi kepada USNO dan PBS pada waktu itu, kita kena belajar dari pengalaman lalu.

"Malaysia negara kita dan Sabah negeri kita, saya setuju kita mesti jaga Sabah sebagai rumah kita, tapi kita mesti bersama dengan Kerajaan Persekutuan supaya kita dapat tuntut apa yang menjadi hak kita," katanya.

Hajiji turut berkata, kerajaan yang dipimpinnya wajar diberi mandat semula pada PRN17 berdasarkan rekod pentadbiran yang baik sepanjang empat tahun memerintah.

"Ini supaya kerajaan GRS dapat meneruskan agenda pembangunan yang dirancang menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bermula 2026 hingga 2030," katanya.

Sehubungan itu, rakyat Sabah diharap tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan buruk terhadap GRS dan kerajaan negeri sekarang yang disebarkan melalui media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!