Pemandu lori didenda RM7,000 simpan diesel tanpa lesen

Hock Sheng (tengah) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
Hock Sheng (tengah) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang pemandu lori didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis kerana mengaku bersalah menyimpan 824 liter minyak diesel tanpa lesen sah.

Hakim Haderiah Siri menjatuhkan hukuman itu setelah orang kena saman (OKS), Loh Hock Sheng, 32, membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh didapati menyimpan 824 liter diesel di dalam empat unit tangki tambahan lori dengan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang berjadual secara jual borong atau runcit tanpa lesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pam diesel No 12 Stesen Minyak Petronas, HME Petronas Service Station, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada 19 Oktober 2023.

Pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Melaka, Muhamad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Faiezad Razali.

Mengikut fakta, empat pegawai Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka mengesan sebuah lori mengisi minyak diesel dalam keadaan mencurigakan ketika operasi Op Tiris di stesen minyak terbabit.

Pemeriksaan lanjut menemui empat tangki plastik di bahagian belakang lori yang telah disambung ke tangki asal mengandungi diesel dianggarkan 1,000 liter.

Artikel Berkaitan:

Malah OKS gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit untuk menyimpan dan berurusan dengan diesel ketika diminta berbuat demikian.

OKS kemudian ditahan oleh pegawai serbuan dan turut merampas lori berkenaan serta sekeping resit pembelian diesel berjumlah RM215.04.

Hasil siasatan juga mendapati lori terbabit disewa daripada sebuah syarikat dengan bayaran sewaan RM2,000 sebulan sebelum diubah suai dengan memasang paip dari tangki utama ke tangki tambahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!