NGO lapor polis pengguna FB didakwa fitnah menteri

Mohd Noor Ali (tiga dari kiri) bersama NGO lain membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Mohd Noor Ali (tiga dari kiri) bersama NGO lain membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang dipercayai memuat naik berita palsu berkaitan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Ketiga-tiga NGO tersebut ialah badan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan Insan Prihatin Kuala Lumpur (Prihatin), Gerakan Memertabat Pejuang Negara (GMPN) dan Pertubuhan Pergerakan Pemulihan Huaxia Sedunia Malaysia.

Pengerusi Prihatin, Datuk Mohd Noor Ali Akbar menyifatkan tindakan terbabit bertujuan memburukkan imej dan reputasi menteri berkenaan, selain menimbulkan persepsi negatif mengenai Salahuddin kepada umum.

"Kami mendesak pihak berkuasa menyiasat individu dan pengendali tiga akaun Facebook itu tanpa sebarang prejudis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Laporan tersebut dibuat mengikut Seksyen 499/500 Kanun Keseksaan.

Melalui hantaran tersebut sebelum ini, pemilik akaun Facebook berkenaan didakwa memuat naik gambar Salahuddin kononnya Ahli Parlimen Pulai itu mengeluarkan kenyataan bahawa peluang mentadbir yang diberi kepada bangsa Cina ialah idea baik sebagaimana pentadbiran di Singapura.

Dalam perkembangan berasingan, Presiden GMPN, Mejar (B) Razali Zakaria membuat laporan polis berkaitan Himpunan 220220, Sabtu ini.

Razali turut menyifatkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dipercayai memberi permit kepada penganjur himpunan itu sebagai tidak masuk akal.

Artikel Berkaitan:

"Mana logiknya permit diberi kepada penganjur himpunan yang cuba mempertikaikan keputusan kerajaan," katanya.

Himpunan tersebut dikatakan bertujuan mendesak kerajaan memenuhi 10 tuntutan dalam tempoh 100 hari bermula dari tarikh himpunan tersebut berlangsung dan sekiranya gagal, pihak terlibat mendesak Parlimen dibubarkan serta-merta bagi memberi laluan kepada kerajaan baharu yang lebih layak memegang mandat.