Ruang solat jadi kelas pelajar madrasah

MUAR - Pihak pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Quran At-Tanwiriah sedang membina sebuah surau yang dilengkapi dengan beberapa kelas untuk pelajar madrasah berkenaan.
Mudir Am Madrasah berkenaan, Kamalulnizam Mohd Suhut berkata, projek Surau Tuan Guru Haji Hasbullah yang bakal memuatkan 500 jemaah itu akan dilengkapi enam kelas dan sebuah pejabat di tingkat atas serta ruang solat di bahagian bawah.
Menurutnya, surau seluas 371.61 meter persegi itu akan membolehkan pelajar melakukan lebih banyak aktiviti berikutan sudah ada tempat khusus untuk mereka.
"Surau ini dibina berikutan ruang solat yang ada dijadikan kelas pelajar dan kini sangat padat ketika sesi pembelajaran.
"Selain itu, pertambahan pelajar menyebabkan asrama dan ruang sedia ada tidak dapat menampung jumlah mereka," katanya kepada Sinar Harian.
Kamalulnizam memberitahu, mereka memerlukan dana sebanyak RM950,000 untuk menyiapkan pembinaan surau terbabit.
Katanya, selepas pembinaan surau itu siap, pihak madrasah juga akan membina sebuah blok asrama lelaki setinggi tiga tingkat bernilai RM2.8 juta.
Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank 5510 4351 4053 atas nama Madrasah Tahfiz Al Quran At Tanwiriah.
Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Kamalulnizam di talian 013-2084341 atau mengunjungi laman web https://mtaqtanwiriah.edu.my/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!