Rakan sekerja bongkar lelaki jadi mangsa dera isteri sendiri

Kes keganasan rumah tangga ke atas suami itu turut menjadi tular. - Foto Agensi
Kes keganasan rumah tangga ke atas suami itu turut menjadi tular. - Foto Agensi
A
A
A

NGAMPRAH - Misteri kehilangan seorang lelaki akhirnya terjawab selepas rakan-rakannya mendedahkan punca sebenar.

Individu dikenali sebagai C yang bertugas sebagai Aparatur Sipil Negara (ASN) di Pemerintah Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat didakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga (KDRT) yang dilakukan oleh isterinya.

Perkara itu disahkan Kepala Dinas Pemuda dan Olahraga (Dispora) Bandung Barat, Imam Santoso pada Isnin.

"Rakan sekerja lain tertanya-tanya apabila dia tidak hadir bekerja pada 8 Januari lalu. Segala-galanya bermula apabila dia tidak dapat dihubungi ketika rakannya mahu bertanyakan tentang soal kerja.

"Dua hari kemudian, mereka menerima kiriman WhatsApp isterinya yang memaklumkan C demam, namun ramai yang curiga," ujarnya.

Menurutnya, C akhirnya memberanikan diri untuk menghubungi rakannya pada 11 Januari dan memberitahu dia sedang berdepan 'tragedi' dan tidak memegang telefon bimbit sepanjang tempoh kehilangannya.

Rakan-rakan C yang tidak berpuas hati bertindak 'menyiasat' dan menemui bukti lain yang mengesahkan dia didera isterinya ketika mereka membuka komputer kerja miliknya.

"Ada mesej isterinya yang meminta dia segera berubat. Kiriman mesej itu berserta dengan gambar C yang menunjukkan kesan luka dan lebam yang teruk," jelas Imam lagi.

Artikel Berkaitan:

Susulan keadaan C yang agak membimbangkan, mereka menghubungi keluarga C dan mendapat maklumat lokasi keberadaan mangsa.

"Selepas dipujuk, C akur untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa Ciparay dan perlu menjalani pemeriksaan perubatan," menurutnya.

Kes KDRT kemudiannya menjadi tular selepas dikongsi kakaknya, @adityaarthaz di Instagram yang memaparkan gambar penderaan fizikal yang dilakukan ke atas C. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!