Thailand tingkatkan langkah keselamatan sempadan dan migrasi

Thailand komited mempercepatkan pelaksanaan langkah komprehensif bagi menangani isu migrasi rentas sempadan dan membanteras aktiviti haram di sepanjang sempadannya, khususnya di sempadan Thailand-Myanmar - Foto: Agensi
Thailand komited mempercepatkan pelaksanaan langkah komprehensif bagi menangani isu migrasi rentas sempadan dan membanteras aktiviti haram di sepanjang sempadannya, khususnya di sempadan Thailand-Myanmar - Foto: Agensi
A
A
A

BANGKOK - Thailand komited untuk mempercepatkan pelaksanaan langkah komprehensif bagi menangani isu migrasi rentas sempadan dan membanteras aktiviti haram di sepanjang sempadannya, khususnya di sempadan Thailand-Myanmar, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Phumtham Wechayachai.

Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra telah mengutamakan pelaksanaan langkah komprehensif untuk menangani isu migrasi rentas sempadan dan aktiviti haram dengan berkesan.

Langkah itu termasuk mengetatkan kawalan imigresen, mencegah pemerdagangan manusia, memantau laluan perjalanan migran dan mengganggu rangkaian telekomunikasi haram di kawasan sempadan, katanya dalam kenyataan yang disampaikan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan Mejar Jeneral Thanathip Sawangsaeng pada Isnin.

Phumtham menegaskan komitmen kerajaan untuk menangani punca migrasi dan isu berkaitan sempadan secara sistematik, bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan stabil untuk pekerja migran serta penduduk tempatan.

"Usaha ini bukan sahaja akan mengurangkan kesan negatif tetapi juga mengukuhkan peranan Thailand sebagai peneraju serantau dalam bantuan kemanusiaan dan keselamatan sempadan," katanya.

Menonjolkan cabaran yang dihadapi oleh pekerja migran di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar khususnya di Daerah Mae Sot, Wilayah Tak dan Myawaddy, Myanmar Phumtham berkata kawasan ini menghadapi isu yang kompleks, termasuk kebimbangan kemanusiaan, cabaran keselamatan dan kepentingan ekonomi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!