Penggunaan kamera badan, sistem khas kenal pasti kesalahan perlu segera dilakukan

SHAH ALAM - Penggunaan teknologi terkini seperti kamera badan dan sistem khas kenal pasti kesalahan perlu segera dilakukan untuk mengelakkan rasuah berlaku terutama dalam kalangan penguat kuasa.
Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Kedah, Mohd Syahir Ismail berkata, perkara itu dapat membantu pihak tertinggi yang bertanggungjawab meneliti dan mengesan dengan cepat aktiviti meragukan yang dilakukan oleh pegawai bertugas.
“Seperti penggunaan kamera badan, perkara itu sangat bagus, walaupun kita mengharapkan ketelusan itu bersifat semula jadi.
“Tetapi dalam masa sekarang, keperluan untuk pasang itu wajar sebab kemampuan dan juga etika pegawai penguat kuasa masih ditahap yang membimbangkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan anggotanya meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemandu di Tambak Johor pada Khamis sebagaimana tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengambil serius dakwaan dalam laman Facebook Singapore's Guide To JB yang memaparkan gambar seorang anggota meminta dan menerima wang secara tidak sah daripada pemandu di Tambak Johor.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan isu terbabit, Mohd Syahir berkata, hukuman yang berat dan setimpal perlu diberikan kepada anggota tersebut jika benar-benar terbabit dengan kegiatan jenayah rasuah.
“Jika perkara ini betul berlaku dan dilihat oleh orang awam, dia sudah jatuhkan reputasi anggota polis sebagai pihak yang menjaga kedaulatan negara serta keselamatan awam.
“Disebabkan pihak polis menjadi orang harapan dan dipandang tinggi tetapi bila berlaku unsur rasuah atau salah guna kuasa, sudah pastinya tindakan tegas perlu dikenakan seperti penjara, sebat atau perlucutan jawatan,” ujarnya.
Menurut beliau, anggota yang terlibat dengan perkara terkutuk itu tidak layak untuk berada dalam institusi kerana mampu mencemarkan imej dan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
