Konsortium diterajui Khazanah, KWSP semakin hampir ambil alih MAHB

SEBUAH konsortium diterajui Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semakin hampir mengambil alih sepenuhnya Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selepas memperoleh 86.51 peratus daripada jumlah saham diterbitkan.
Konsortium yang terlibat dalam usaha pengambilalihan MAHB iaitu Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA), dilihat turut berjaya dalam usaha menjadikan pengendali dan pengurus lapangan terbang itu sebagai sebuah syarikat persendirian.
Malah, GDA yang terdiri daripada Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) tersebut menjangkakan MAHB akan dikeluarkan daripada indeks MSCI dan indeks lain.
Setelah menerima 86.5 peratus saham, GDA juga dijangka akan mengisytiharkan tawaran berkenaan tanpa syarat dan yakin jumlah penerimaan akan melebihi 90 peratus, sekali gus menyebabkan MAHB dinyah senarai daripada Bursa Malaysia.
"GDA ingin mengingatkan pemegang saham yang masih belum menerima tawaran bahawa kecairan akan berkurangan sebaik saja MAHB dikeluarkan daripada indeks dan mereka menghadapi risiko memegang saham tidak tersenarai.
"Pada masa sama, konsortium telah menyemak semula tarikh tutup tawaran kepada 4 Februari 2025 iaitu hari terakhir tawaran boleh menjadi tanpa syarat serta mengisytiharkan bahawa harga tawaran RM11 adalah muktamad dan tidak akan disemak lagi,” katanya dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan konsortium berkenaan.
Tambahnya, harga tawaran yang dibayar sepenuhnya dalam bentuk tunai sejurus selepas tawaran diisytiharkan tanpa syarat, memberikan pemegang saham premium 44 peratus terhadap harga saham MAHB setahun lalu iaitu RM7.64 pada 19 Januari 2024.
Konsortium mengulangi pandangannya bahawa prestasi rendah operasi dan kewangan MAHB akan berterusan jika ia kekal tersenarai.
Selain itu, transformasi MAHB sebaiknya dilaksanakan sebagai entiti swasta, disokong oleh pelabur strategik dan kewangan yang boleh mengambil pendekatan jangka panjang untuk membuat keputusan serta pelaburan modal.
Transformasi yang dirancang untuk memberi manfaat lebih luas kepada Malaysia memerlukan perbelanjaan modal besar bagi memperbaiki infrastruktur MAHB yang sudah usang dan menyokong pengembangannya.
Terdahulu, tawaran penstrukturan semula itu pertama kali diumumkan pada Mei 2024 dan dilancarkan secara rasmi pada 15 November 2024 sebagai langkah strategik untuk memastikan MAHB mencapai pertumbuhan yang mampan dan berkekalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!