Padah simpan mercun Tahun Baharu Cina tanpa permit

BUTTERWORTH - Seorang pekerja medan selera direman tiga hari bagi membantu siasatan kes menyimpan dan menjual mercun tanpa permit di sebuah rumah di Sungai Puyu di sini.
Majistret Balqis Roslin membenarkan reman ke atas lelaki berusia 28 tahun itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di Mahkamah Butterworth pada jam 10.50 pagi dengan diiring polis.
Difahamkan lelaki berkenaan ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah di Sungai Puyu di sini kira-kira jam 7.30 malam pada Ahad.
Suspek aktif dalam penjualan mercun sejak setahun lalu itu dikatakan gagal mengemukakan permit yang sah sebelum pihak polis merampas 161 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM125,000.
Lelaki itu mendapat bekalan mercun itu dari Kuala Lumpur dan dipercayai dijual sempena Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!