'Sekadar suka-suka, anak minta bergayut di luar kenderaan'

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang kanak-kanak bergayut pada pacuan empat roda sedang bergerak di Bandar Baru Nilai.
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang kanak-kanak bergayut pada pacuan empat roda sedang bergerak di Bandar Baru Nilai.
A
A
A

NILAI - Tanpa menghiraukan keselamatan anaknya, seorang bapa dipercayai membiarkan anaknya berusia enam tahun bergayut pada pintu kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang sedang dipandunya.

Video aksi kanak-kanak itu dimuat naik seorang pengguna di aplikasi X menunjukkan kejadian itu berlaku pada waktu malam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya mengesan video berkenaan di aplikasi X pada jam 11.10 pagi, pada Ahad.

"Video berdurasi 27 saat itu menunjukkan sebuah kenderaan 4x4 berwarna perak dipandu dengan keadaan seorang kanak-kanak bergayut padanya.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai telah mengambil langkah dengan mengesan dan menahan pemandu tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku melibatkan sebuah 4x4 jenis Nissan Navara dipandu seorang lelaki warganegara asing berusia 38 tahun di kawasan Bandar Baru Nilai.

Ujarnya, kanak-kanak lelaki bergayut di pintu kenderaan itu merupakan anaknya berusia enam tahun.

"Difahamkan, perbuatan kanak-kanak tersebut adalah sekadar suka-suka dan menjadi kebiasaannya meminta berdiri di luar kenderaan ketika bapanya memandu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor B Sharveen Raj di talian 011-26176424.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!