Wanita maut, rakan parah rempuh treler rosak

NILAI - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut manakala rakan lelakinya parah selepas kereta dinaiki merempuh sebuah treler rosak di Kilometer (KM) 282.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat susur Nilai, di sini, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, treler berkenaan dikatakan berhenti di lorong paling kiri lebuh raya kerana mengalami kerosakan.
Menurutnya, treler jenis Sinotruk tanpa muatan dipandu lelaki berusia 34 tahun itu dari Pelabuhan Klang, Selangor, menghala ke Melaka.
"Namun sebaik sampai di lokasi, treler terbabit dikatakan mengalami kerosakan lalu berhenti di lorong paling kiri.
"Tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai melanggar bahagian belakang sisi kanan treler," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, kejadian itu mengakibatkan penumpang kereta wanita berusia 35 tahun parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu kereta mengalami parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Nilai di talian 067904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian 010-4554359.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

