'Kecewa jawatan presiden tiada pencabar'

RAMAI peminat bola sepak yang mungkin kecewa apabila jawatan tertinggi dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seperti presiden dan timbalan presiden yang tidak dicabar dan telah menang tanpa bertanding.
Pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar berkata, keadaan itu memperlihatkan persaingan sihat tidak berlaku dengan ramai yang mengharapkan muka baharu dapat menerajui badan induk bola sepak negara itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan situasi itu tidak seharusnya dipersalahkan kepada sesiapa apatah lagi tiada calon lain yang berminat untuk menawarkan diri bertanding.
“Sudah tentu ramai yang mahu melihat muka-muka baharu terutama jawatan teratas dalam FAM kerana rata-rata yang bertanding itu adalah muka lama selain ada beberapa perkara terpalit dengan mereka ketika penggal lalu.
“Perkara ini juga memberikan kesan di hati rakyat, tetapi tiada orang lain yang mahu bertanding dan menawarkan diri. Ahli gabungan juga menerima seadanya, bagi saya kita tidak boleh salahkan sesiapa dalam hal ini.
“Saya rasa ada ramai yang berminat untuk tawarkan diri menjadi presiden. Tetapi, ada sebab lain menyebabkan mereka tidak mahu terlibat dengan FAM.
“Mungkin mereka rasa adakah mereka diberikan sepenuh kebebasan untuk menerajui persatuan apabila menjadi presiden, tetapi mereka dari awal tidak rasa sebegitu menyebabkan mereka tidak bertanding,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, FAM mengumumkan senarai calon yang layak bertanding pada pemilihan yang akan Kongres FAM Ke-61 pada 15 Februari depan.
Senarai itu menyaksikan Naib Presiden FAM, Datuk Joehari Mohd Ayob menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden FAM.
Selain itu, jawatan Timbalan Presiden FAM juga tidak dicabar dan Datuk Mohd Yusoff Mahadi serta Datuk S Sivasundaram akan mengekalkan kerusi tersebut.
Dalam pada itu, Azlan mengharapkan Joehari dapat memastikan ada perubahan dapat dilakukan selepas beliau memulakan tugas sebagai presiden FAM.
“Saya harap beliau dapat menjadi presiden yang lebih telus, berani serta bijak menangani isu dan berani buat keputusan.
“Beliau perlu menunjukkan bahawa di bawah kepimpinannya, lebih bebas dan tiada siapa yang mampu mengganggu keputusan yang mahu dibuat oleh FAM,” katanya.
Sementara itu, Azlan turut mengucapkan selamat berjaya kepada calon-calon yang bertanding selain mengharapkan peluang diberikan kepada Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk PS Sugumaran yang turut bertanding dalam jawatan jawatan exco FAM.
“Saya amat mengenali Datuk Sugumaran ini kerana beliau banyak melakukan pembangunan dalam bola sepak Selangor. Sebab itu kita dapat lihat ramai pemain muda Selangor mula bermain dalam pasukan senior hasil kerja kuat beliau.
“Beri peluang kepadanya kerana beliau memang boleh buat kerja. Jika beliau menang, ia satu kebaikan untuk FAM juga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

