Islam sedia pertahan gelaran lightweight

PENYANDANG gelaran lightweight UFC, Islam Makhachev tidak terkilan dengan penarikan diri saat akhir Arman Tsarukyan pada pertarungan UFC 311.
Sebaliknya, jaguh Dagestan itu bersedia berhadapan dengan siapa sahaja termasuk Renato ‘Money’ Moicano yang tampil sebagai ‘bidan terjun’ bagi menggantikan Arman.
Islam (26-1 MMA) sepatutnya mempertahankan gelarannya dalam pertarungan ulangan menentang Arman di Intuit Dome, Los Angeles, California pada hari ini (sekitar jam 12 tengah hari).
Bagaimanapun, petarung Armenia berusia 28 tahun itu terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan pada bahagian belakang badan.
Moicano (20-5-1 MMA) pada mulanya dijadualkan bertemu Beneil Dariush, namun petarung asal Brazil itu layak bertemu Islam selepas berjaya mencapai berat badan kelas lightweight semasa sesi timbang berat UFC 311 pada awal pagi Sabtu.
“Saya sudah lama bersedia. Apabila gladiator masuk ke dalam arena, dia tidak boleh memilih lawan.
“Begitu juga dengan saya. Tidak kisah siapa lawan, saya akan kalahkan dia,” ujar Islam.
Islam, 33, kini berada dalam rentetan 14 pertarungan tanpa kalah dan berpeluang memecahkan rekod yang tersimpan selama 15 tahun bagi gelaran keempat berturut-turut dalam kelas lightweight.
Ketika ini, Islam terikat dengan empat petarung lain iaitu BJ Pen, Jens Pulver, Frankie Edgar dan Khabib Nurmagomedov dengan tiga gelaran lightweigth berturut-turut.
Moicano, 35, pula telah memenangi empat perlawanan berturut-turut termasuk kemenangan technical knock out (TKO) pusingan kedua ke atas Benoit Saint Denis dalam pertarungan terakhirnya pada September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

