Lelaki ditahan cabul anak tiri

SUBANG JAYA - Polis menahan seorang lelaki disyaki melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuannya pada Isnin.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek ditahan di rumahnya di Batu 13, Jalan Puchong di sini.
Beliau berkata, ekoran kejadian itu, mangsa yang berusia 15 tahun bertindak memberitahu ibunya berusia 31 tahun mengenai perbuatan suspek, 36, yang mencabulnya.
"Hasil siasatan awal, mangsa pernah memberitahu ibunya bahawa suspek pernah melakukan perbuatan seumpama itu pada 2021.
"Namun begitu lelaki itu merayu dan berjanji tidak akan menyentuh mangsa menyebabkan wanita terbabit tidak membuat laporan polis," katanya.
Menurut beliau, pada 9 Januari lalu, mangsa memberitahu kepada ibunya bahawa suspek melakukan perbuatan sama ketika wanita itu keluar bekerja.
"Susulan itu, ibunya tekad membuat laporan di Balai Polis Putra Height untuk tindakan selanjutnya," katanya pada Sabtu.
Katanya, suspek telah ditahan reman selama seminggu sehingga Isnin bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Amang Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!