MH370: Pasukan penyiasat siasat semua kemungkinan

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan pihaknya telah menyiasat semua kemungkinan, spekulasi, teori dan maklumat yang relevan dalam menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370.

Menurutnya, penyiasatan itu dilakukan dengan kerjasama penuh daripada semua pihak bertanggungjawab antarabangsa dalam kemampuan terbaik yang dimiliki kerajaan Malaysia.

Katanya, sepanjang proses penyiasatan dijalankan, semua maklumat yang diterima akan disahkan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dilakukan.

“Saya juga berkongsi perkembangan terkini terutamanya ketika sidang media dan temu bual. Ketelusan, mengeluarkan kenyataan dan menyatakan apa sebenarnya yang berlaku adalah keutamaan saya.

“Mengeluarkan maklumat yang belum disahkan akan menjejaskan penyiasatan dan ia tidak adil kepada keluarga penumpang MH370 dan orang awam. Ia adalah perkara yang tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif untuk dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, malangnya sehingga tamat tempohnya menjadi pemangku Menteri Pengangkutan, pasukan penyiasat tidak memberitahunya sebarang kesimpulan punca pesawat itu hilang.

“Oleh itu, saya menyeru sekali lagi seperti yang saya lakukan sebelum ini, sesiapa yang mempunyai maklumat relevan mengenai kejadian ini tampil membantu supaya pihak berkaitan melakukan tindakan selanjutnya,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin turut berterima kasih kepada semua rakan di seluruh dunia termasuklah kerajaan Australia yang berkongsi maklumat dan sumber ketika misi mencari MH370 dijalankan.

Artikel Berkaitan:

“Tiada sehari yang berlalu tanpa saya berdoa agar kebenaran terbukti dalam tragedi ini. Doa saya kekal bersama ahli keluarga dan rakan-rakan yang berada di atas pesawat tersebut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas PM Australia dakwa Malaysia tahu punca kehilangan MH370

Belum ada bukti sokong teori juruterbang MH370 bunuh diri: KPN