Pasukan debat UIAM atasi universiti ternama dunia dalam WUDC 2025

SHAH ALAM - Pasukan Debat Bahasa Inggeris Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melakar sejarah apabila melangkah ke pusingan menang mara selepas menduduki kelompok 48 pasukan terbaik di Kejohanan Debat Universiti Dunia (WUDC) 2025 di Panama, Amerika Tengah, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut mengangkat UIAM sebagai satu-satunya universiti dari Asia Tenggara berjaya melayakkan diri dalam Kategori Terbuka.
Kejayaan luar biasa itu direkodkan pasukan debat UIAM diwakili penuntut jurusan undang-udang (AIKOL), Anas Ahmad Zaharim dan Nor Atifa Wan Saifulruddin serta penuntut dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, AbdulHamid AbuSulayman (AHAS KIRKHS).
Dalam kejohanan yang menyaksikan penyertaan lebih 220 pasukan dari seluruh dunia itu, UIAM berjaya mengatasi kedudukan beberapa institusi ternama seperti Oxford, Harvard, Yale, Stanford dan University of California Los Angeles.
Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata, kejayaan pendebat UIAM bersaing dengan pasukan dari universiti tersohor dunia amat membanggakan UIAM sebagai sebuah universiti Islam.
“Sebagai rektor, saya akan memastikan UIAM terus menyediakan sumber dan insentif untuk menggalakkan lagi pendekatan seperti ini.
"UIAM dan debat dunia sememangnya sudah lama menyerlah kejayaan di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Atas kejayaan tersebut, dua pendebat UIAM masing-masing menerima insentif RM500 sebagai pemangkin kecemerlangan dalam bidang debat di peringkat global.
Sementara itu, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) UIAM, Profesor Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin berkata, persediaan untuk kejohanan bertaraf dunia seperti WUDC tidak dilakukan dalam sekelip mata.
“Pasukan pendebat UIAM menjalani latihan intensif dua hingga tiga kali seminggu sepanjang semester dengan sesi latihan tambahan diadakan pada hujung minggu.
"Para alumni debat dan jurulatih juga memainkan peranan dalam membantu pasukan membuat persediaan. Bagi pihak pembangunan pelajar, kami akan terus memberi galakan dan rangsangan kepada mereka yang ingin menjadi pendebat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!