Dua suspek aktif samun kafe, pusat dobi ditahan

SEREMBAN - Dua suspek dipercayai aktif melakukan samun premis kafe dan pusat dobi di sekitar Negeri Sembilan berjaya ditahan polis di kawasan Taman Seri Serdang di Seri Kembangan, Selangor, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek berusia 30-an dan 40-an itu ditahan jam 1.30 pagi dan 4 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
"Tangkapan dilakukan susulan laporan polis dibuat seorang pengurus premis kafe pada jam 11.30 pagi, 2 Januari lalu berkaitan premisnya dipecah masuk dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat barang hilang.
"Semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki telah memecah masuk premis melalui pintu bahagian belakang dan menggeledah ruang kaunter," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, suspek telah menggunakan kenderaan jenis Proton Exora warna merah dengan nombor pendaftaran palsu.
"Dengan penahanan dua suspek ini, pihak polis berjaya menyelesaikan sebanyak 19 kes jenayah pecah premis, dobi, samun dan curi kenderaan di sekitar Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak yang melibatkan anggaran kerugian keseluruhan RM117,000.
"Pihak polis merampas sebuah kenderaan jenis Proton Exora milik suspek dan sebuah Perodua Ativa yang dilaporkan hilang di Hutan Melintang, Perak," katanya.
Tambah Mohamad Hatta, polis turut merampas beberapa peralatan pecah rumah, barangan milik mangsa serta pelbagai jenis syiling token kedai dobi layan dobi.
"Pakaian milik suspek yang digunakan semasa kejadian jenayah melalui rakaman CCTV turut ditemui," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!