Pemuda maut kemalangan dengan treler

KOTA TINGGI - Seorang pemuda maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 50.8 Jalan Kota Tinggi-Kluang, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 7.10 pagi, melibatkan lori treler jenis Hino yang dipandu lelaki berusia 45 tahun dengan motosikal jenis Yamaha NVX (ABS) yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun.
"Dalam kemalangan tersebut, penunggang motosikal cedera parah di bahagian kepala dan kaki, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun serta maksimum 10 tahun selain denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.
"Orang ramai yang memiliki maklumat berhubung nahas berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hafizi Said di talian 07-8831222 ext 5153 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
