Filipina ulangi komitmen untuk Pelan Pelancongan ASEAN

Christina Garcia Frasco - Foto: Agensi
Christina Garcia Frasco - Foto: Agensi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Filipina mengulangi semula komitmen terhadap Pelan Strategik Pelancongan ASEAN 2016-2025 dengan menekankan hasrat untuk mempromosikan ASEAN sebagai destinasi pelancongan yang bersatu serta mampan.

Setiausaha Jabatan Pelancongan, Christina Garcia Frasco berkata, usaha itu selaras visi ASEAN bagi pembangunan pelancongan yang bertanggungjawab, inklusif dan mampan.

Berpandukan matlamat bersama untuk memupuk perpaduan serantau, Filipina terus memberikan penekanan menyokong pelan strategik bagi menempatkan ASEAN sebagai destinasi pelancongan berkualiti yang menawarkan pengalaman unik dan pelbagai.

Antara komitmen itu ialah kempen "Love the Philippines" yang mempamerkan kekayaan budaya negara serta keindahan dan layanan yang tiada tandingan sambil menyumbang kepada pertumbuhan kolektif ASEAN.

"Kami mengutamakan kemampanan sebagai asas strategi pelancongan, memastikan khazanah yang kami warisi akan terus memberi inspirasi dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

"Komitmen kami bersama-sama peningkatan keuntungan ekonomi adalah untuk memastikan pemeliharaan alam sekitar, pengayaan budaya, pertumbuhan inklusif dan inovasi berterusan,” katanya.

Frasco berucap melalui rakaman video yang dikongsi pada Malam Filipina yang diadakan sempena ASEAN Travel Exchange (TRAVEX), komponen utama program Forum Pelancongan ASEAN (ATF) di sini malam tadi.

Acara itu dihadiri oleh Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Pelancongan Filipina Verna Buensuceso; dan Ketua Pegawai Operasi Lembaga Penggalakan Pelancongan (TPB) Maria Margarita Montemayor Nograles.

Artikel Berkaitan:

Frasco berkata, Filipina berbangga dapat menyertai ATF tahun ini anjuran Malaysia dan selama hampir tiga dekad, forum itu telah menjadi mercu tanda perpaduan sekali gus memperkukuh lagi kekuatan rantau ASEAN.

"Forum itu mempamerkan kekayaan kepelbagaian budaya ASEAN, landskap yang mempesonakan serta menjadi lambang kegigihan negara anggota ASEAN dan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata, adalah amat mengagumkan bahawa sebagai sebuah badan pusat yang beroperasi secara kendiri di bawah naungan Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN, forum ini mencerminkan dinamisme industri pelancongan yang terus berkembang pesat.

ATF 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 20 Jan, bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan pertukaran pengetahuan serta mewujudkan jaringan dan meningkatkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi menambah jumlah pelancong yang mengunjungi ASEAN.

Ini kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah ATF selepas yang pertama di Kuching, Sarawak pada 2014.

Penganjuran kali ini amat signifikan memandangkan Malaysia pada tahun ini menyandang jawatan Pengerusi ASEAN. - Bernama

TAG: Filipina, pelan pelancongan, ASEAN, ATF, komitmen, Christina Garcia Frasco

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!