Penerbangan ihsan TUDM bawa bayi 30 hari

ROMPIN - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang bayi lelaki berusia 30 hari daripada Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang memerlukan rawatan segera.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, bayi berkenaan, Muhammad Emir Mikhyl Muhammad Izral Haziq yang disyaki menghidap penyakit sepsis diiringi ibunya, Nur Anis Hidayah Mohd Nazari.
"Dalam misi itu, helikopter EC 725 AP dari No10 Skuadron telah diatur gerakkan untuk membawa seorang bayi.
"Bayi tersebut selamat mendarat di Pangkalan Udara Kuantan dan terus dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Penerbangan Mercy Flight ini telah dikendalikan Mejar TUDM, Khairul Ridhuan Ramlee, Mejar TUDM, Helmi Che Mat dan Kuartermaster Udara, Flait Sarjan Jilvanio Stephanus serta Sarjan Udara Muhammad Syafudeen Selamat.
Sehubungan itu, TUDM mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan misi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!