Penyu 'mahu lemaskan' Harimau Selatan

Terengganu akan berdepan ujian getir menentang JDT dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Jumaat. Foto TERENGGANU FC
Terengganu akan berdepan ujian getir menentang JDT dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Jumaat. Foto TERENGGANU FC
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) tidak akan bermain bertahan sebaliknya akan cuba sedaya upaya memburu kemenangan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, beliau menghormati kualiti yang dimiliki JDT, namun percaya pasukannya mampu untuk meraih keputusan positif dalam perlawanan tersebut.

"Sudah semestinya kami nak keputusan positif, terutama mencari gol dan cuba mencipta kemenangan untuk membawa bekalan ke tempat lawan pula.

"Kami juga beraksi di laman sendiri, di hadapan penonton sendiri dan sudah tentu aksi terbaik akan kami berikan dalam perlawanan tersebut," katanya kepada Sukan Sinar.

Badrul Afzan juga mengakui barisan pemainnya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan kerana ia akan mengundang masalah terutama berdepan pasukan serba lengkap seperti JDT.

Menurutnya, pemain JDT seperti Arif Aiman Hanapi, Bergson da Silva serta pemain lain juga akan cuba dikawal sebaik mungkin untuk mengelakkan mereka berjaya memberikan masalah kepada benteng pertahanan Terengganu.

"Bagi saya bukan hanya Arif Aiman atau Bergson, majoriti pemain JDT ada kualiti. Kalau tidak boleh jaringkan gol dalam permainan, mereka akan cuba pelbagai cara dalam situasi bola mati dan sebagainya.

"Kami tidak boleh melakukan kesilapan dan kena fokus sampai habis perlawanan terutama barisan pemain pertahanan dalam kotak penalti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Badrul Afzan juga mengakui Akhyar Rashid yang sudah sah menjadi milik tetap TFC memberikan motivasi tambahan kepada pasukan.

Malah, beliau yakin status Akhyar yang boleh diturunkan dalam perlawanan separuh akhir pertama itu akan memberikan nilai tambah di bahagian serangan TFC.

"Akhyar sudah semestinya tonggak utama kita tahun ini. Bagi saya, ia satu moral tambahan untuk pemain lain walaupun kita tidak dapat menurunkan Safawi Rasid, sekurang-kurangnya Akhyar ada untuk membantu pasukan," katanya.

PIALA MALAYSIA

Separuh Akhir Pertama

JUMAAT (17 JANUARI)

Terengganu FC lwn Johor Darul Ta’zim

(Stdm Sultan Mizan Zainal Abidin, 9 malam)

(Astro Arena Bola (803) dan Astro GO)

SABTU (18 JANUARI)

Sabah FC lwn Sri Pahang FC

(Stdm Likas, 8.15 malam)

(Astro Arena Bola (803) dan Astro GO)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!