Jemaah surau terkejut temui mayat bayi perempuan

GOMBAK - Jemaah sebuah surau di pekan Rawang terkejut selepas menemui mayat bayi perempuan di pekarangan surau itu pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 2.36 petang.
"Siasatan awal dijalankan mendapati mayat bayi berkenaan ditemui di pekarangan surau berkenaan.
"Bayi itu didapati tiada pengenalan diri serta lengkap berbaju putih, dibaluti dengan kain selimut dan masih bertali pusat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, mayat bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Khatijah Ibrahim di talian 010-9073483 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!