Pengunjung bertuah menang hadiah eksklusif

KUALA LUMPUR- Terjah Tangkis bersama Mesra Rewards, anjuran PETRONAS dan Sinar Harian yang diadakan di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini meriah dengan kehadiran orang ramai sejak awal pagi Sabtu.
Program yang diadakan bersempena dengan Kejohanan Badminton Terbuka PETRONAS 2025 itu menjadi kenangan manis kepada mereka apabila berjaya membawa pulang hadiah menerusi permainan yang dianjurkan.

Antara permainan yang boleh disertai orang ramai termasuklah menyusun bulu tangkis, memasukkan bulu tangkis dalam bakul, tendang bola masuk ke dalam lubang dan sangkut gelang pada tiang.
Pelbagai hadiah ditawarkan antaranya barangan eksklusif PETRONAS seperti beg sandang, beg pinggang, botol air, cawan, beg raket dan cermin mata jenama Lee Cooper.

Difahamkan kesemua permainan berkenaan direka mewakili elemen PETRONAS Primax 95 dengan pengalaman pemanduan yang lancar dan bebas geseran oleh Pro- Drive.
Bagi jurutera sambilan, Lok Foo Choon, 61, dari Subang Jaya berkata, kehadirannya ke Bukit Jalil pada hari berkenaan adalah untuk memberikan sokongan kepada pasukan beregu kebangsaan.

“Setiap kali ada kejohanan badminton terbesar membabitkan pasukan kebangsaan, pasti saya akan hadir,” katanya yang membawa pulang hadiah beg pinggang PETRONAS.
Foo Choon berkata, permainan yang diadakan juga menarik dan menguji kemahiran terutamanya memasukkan bola ke dalam lubang.
Sementara itu, pekerja swasta, Gokula Krishnan, 35, tidak menyangka kebolehannya menjawab soalan mudah yang diberikan melayakkan dirinya membawa pulang sebuah beg sandang PETRONAS.

“Saya memang dah lama nak dapatkan beg sandang PETRONAS ini dan sudah tertulis hari ini rezeki saya,” katanya.
Beliau yang datang bersama isterinya membeli tiket masing-masing berharga RM250 untuk melihat semua perlawanan separuh akhir yang dipertandingkan.
Lee Kah Khee, 28, yang datang dari Pulau Pinang gembira apabila berjaya mendapatkan beg raket PETRONAS selepas berjaya menjawab soalan mudah yang ditanya oleh pasukan Terjah Tangkis Sinar Harian dan PETRONAS.

“Kebetulan saya mempunyai raket badminton yang baru dibeli, jadi beg ini dapat dimanfaatkan untuk memastikan raket saya lebih tahan lama dan selamat,” ujarnya.
Kah Khee yang turut mencuba permainan di reruai Sinar Harian menyifatkan permainan memasukkan bola tangkis ke dalam bakul menggunakan raket amat mencabar.
Dalam pada itu, Shahrul Idham,33, berkata perjalanan selama lebih tiga jam dari Batu Pahat, Johor berbaloi apabila dia memenangi hadiah beg sandang PETRONAS yang akan digunakan untuk ke pejabat.

“Beg sandang ini boleh memudahkan saya membawa barangan peribadi termasuk tugasan pejabat yang perlu diselesaikan di rumah,” katanya.
Ujarnya, paling tidak dapat dilupakan apabila dia mencuba keempat-empat permainan sebanyak dua pusingan bagi memperoleh hadiah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!