Perluas pendidikan rasuah, jaga imej Mara dan negara

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pendidikan berkaitan rasuah serta salah guna kuasa di peringkat akar umbi khususnya membabitkan pelajar Kolej Mara Seremban di sini akan terus diperkasa bagi melahirkan pemimpin yang berintegriti.
Pengarah Kolej Mara Seremban, Dr Saaidah Abdul Rahman berkata, pendekatan itu penting untuk membentuk generasi yang bertanggungjawab dan menentang segala bentuk jenayah tersebut.
"Kita mahu pelajar ini yang bakal menjadi pemimpin faham konsep rasuah, kadang-kadang mereka tengok rasuah ini macam melibatkan duit juta- juta, tetapi ada perkara yang sangat mudah pun boleh ada unsur rasuah.
"Perkara seperti itulah yang kita mahu pelajar faham supaya mereka sedar, tambahan apabila mereka bakal melanjutkan pengajian ke luar negara, mereka membawa imej Mara dan negara, mestilah sentiasa menjaga amanah dan bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai Program Antirasuah Kolej Mara Seremban pada Rabu yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin sebagai penceramah program.
Pada program berkenaan seramai 198 peserta terdiri daripada pelajar tahun dua dalam pelbagai bidang diberi pendedahan mengenai rasuah.
Dalam pada itu, Norhayati berkata, mereka perlu faham dan mempunyai kesedaran tentang bahaya rasuah kerana generasi ini bakal membina negara akan datang.

"Konteks yang Rasuah Buster bawa pada hari ini berbeza, iaitu dengan memenuhi semangat patriotism, supaya rasa cinta kepada negara itu subur dan rasa bertanggungjawab untuk meneruskan segala usaha ini (menentang rasuah).
"Sebab mereka akan kembali berkhidmat dalam negara dan tentunya kepada diri sendiri serta keluarga, maka hendak bina semua kejayaan samada kerjaya ataupun negara berkembang maju, salah satunya perlu jauhi rasuah," katanya.
Sementara itu, pelajar, Muhammad Hazeeq Abdul Rahman, 19, berkata, bertekad untuk terus membenteras rasuah kerana jenayah itu bukan sahaja merosakkan keluarga tetapi negara.
"Untuk menjadikan negara ini lebih baik, Malaysia harus menjadikan integriti sebagai tunjang utama dalam kepimpinan bagi memanpankan lagi teras perlembagaan negara," katanya.
Senada dengan itu, Amal Sofia Abd Halim, 19, turut beriltizam untuk memastikan jenayah rasuah berkubur selain berharap semua pihak termasuk pemimpin mengutamakan integriti, keadilan dan ketelusan dalam semua aspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
