Air mata Aina Abdul

PENYANYI berbakat besar Aina Abdul jelas memberi sepenuh jiwanya dalam konsert akhir Imaji Tour Aina Abdul di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Sabtu.
Ia merupakan kenangan manis buat 2,000 peminat Aina Abdul pada malam itu memandangkan artis berasal dari Johor Bahru ini akan berehat dari menganjurkan sebarang konsert solo buat sementara waktu.
Memulakan persembahan dengan dendangan lagu Imaji secara cukup bertenaga, Aina secara keseluruhannya menyampaikan 20 buah lagunya pada malam itu.

Aina juga sempat menunjukkan bakat terpendamnya bermain piano sambil menyanyikan lagu kelapan bertajuk 'Lost'.
Bukan itu sahaja, penyanyi berusia 30 tahun itu dilihat beberapa kali menyeka air mata ketika menyampaikan lagu Satu Rasa.
"Agak menyedihkan kerana ini merupakan lokasi terakhir untuk Imaji Tour. Hanya tiga lokasi saja saya mampu dan saya terharu dengan sokongan ditunjukkan peminat di ketiga-tiga lokasi. Saya tidak mampu balas jasa anda.
"Konsert solo ini merupakan impian saya dan salah satu cara untuk memberi semula kepada peminat yang sentiasa menyokong, memainkan lagu saya setiap hari dan mempertahankan saya di media sosial,” katanya ketika ditemui selepas selesai konsert terbabit.
Tambah komposer itu, dia pasti akan merindui suasana bersama peminat dan memilih untuk berehat seketika daripada menganjurkan konsert solo selepas ini.
“Selesai saja konsert, rasa rindu itu terus menjelma. Sebenarnya Imaji Tour ini merupakan impian saya sejak dari dulu lagi terutamanya ketika mengeluarkan album Imaji pada 2023.
"Saya pernah cakap kepada pihak pengurusan untuk mengadakan konsert jelajah kerana di Malaysia, sukar nak keluarkan album pada zaman ini.
“Jadi apabila sudah keluarkan album, saya cabar diri untuk merealisasikan siri jelajah dan Alhamdulillah, ALLAH beri rezeki untuk kami buat persembahan di tiga lokasi di bawah Aina Abdul Entertainment dan Altus Prohouse,” ujarnya.

Akui Aina untuk menganjurkan konsert jelajah bukan sesuatu yang mudah namun bersyukur kerana ALLAH SWT sentiasa menunjukkan jalan.
Mengulas lanjut, pelatun yang mula melonjak naik menerusi lagu Sumpah itu berkata, setakat ini tempoh masa untuk dia berehat daripada menganjurkan konsert solo masih belum ditetapkan.
"Saya tak tahu berapa lama tempohnya sama ada setahun atau dua tahun untuk kembali mengadakan konsert solo.
“Dalam tempoh itu, saya mahu mengasah lagi komposisi muzik serta mencari 'bunyi-bunyian' lain yang boleh saya keluarkan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!